Loading

Dalam hidup ini manusia seringkali menilai dan menghitung apa yang mereka nampak, sehingga melupai apa yang mereka tidak nampak. Padahal apa yang tidak nampak dari mata manusia itu jauh lebih banyak dibandingkan apa yang manusia nampak. Segala yang nampak lahir dari apa yang tidak nampak. Segala yang nampak bergantung kepada yang tidak nampak.

Kekuatan hidup juga demikian. Jika kita mengukuhkan apa yang nampak di mata sahaja, kita akan runtuh dan gugur. Padahal yang tidak nampak itulah teras kepada segala yang nampak. Apabila manusia melupai hakikat ini, mereka tercari-cari kelopongan hidup yang mereka gagal fahami.

Beriman kepada yang tidak nampak itu adalah santapan rohani yang diperlukan oleh seseorang insan. Penciptaan dan rahsia alam yang tidak nampak itu maha luas untuk diselami dan hirup maknanya. Hanya nurani yang dapat menyingkap apa yang tidak nampak akan benar-benar menikmati apa yang nampak.

Dalam al-Quran ayat menyatakan:

فَلَاۤ أُقۡسِمُ بِمَا تُبۡصِرُونَ (38) وَمَا لَا تُبۡصِرُونَ (39)

[Surah Al-Hâqqah: 38-39]

Maksudnya: “Aku bersumpah dengan apa yang kamu nampak. Dan (aku bersumpah) dengan apa yang kamu tidak nampak “

Sumber: https://www.facebook.com/DrMAZA/posts/pfbid0VXTbuTJitJ1XuVVnTByUSb7LztGtHQezt4SZUkX4ryMTTciejH7Fh23Z6cKuFJKCl